Occupational Health & Safety Policy
ISO 45001:2018
Quality Policy
ISO 9001:2015
Environmental Policy
ISO 14001:2015

Serba Dinamik rancang beli 10 peratus saham GSH

KUALA LUMPUR: Kumpulan perkhidmatan tenaga, Serba Dinamik Holdings Bhd merancang mengambil alih 10 peratus kepentingan ekuiti tambahan dalam Green & Smart Holdings PLC (GSH) untuk RM13 juta, yang akan meningkatkan kepentingannya kepada 25 peratus.

Cadangan pengambilalihan anak syarikat milik penuh Serba Dinamik Group Bhd sebanyak 34.54 juta saham GSH daripada K2M Ventures Sdn Bhd (K2MV) berikutan keputusan Serba Dinamik pada Julai untuk melanggan saham baru GSH yang mewakili 15 peratus modal yang diperbesarkan GSH untuk RM16.99 juta.

Kumpulan GSH terbabit dalam penyelidikan dan pembangunan, penyediaan perundingan kejuruteraan dan perkhidmatan reka bentuk proses dalam bidang bioteknologi industri, kawalan pencemaran dan tenaga boleh diperbaharui.

Ia juga terbabit dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi pelbagai loji/sistem rawatan air sisa dan pembangunan, pengkomersialan, operasi dan penyenggaraan loji janakuasa tenaga boleh diperbaharui.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Serba Dinamik berkata, pengambilalihan yang dicadangkan itu akan memberi kumpulan Serba Dinamik hak penolakan pertama ke atas semua kerja EPCC di bawah kumpulan GSH.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, Serba Dinamik adalah pemegang saham kedua terbesar GSH.

Pemegang saham terbesar ialah K2MV dengan 42.5 peratus kepentingan.

Langkah itu akan membolehkan Serba Dinamik meluaskan pemilikan aset dan mengembangkan perniagaan EPCC.

“Setakat ini, GSH telah menyiapkan dua loji biogas dan menganugerahkan satu kontrak EPCC kepada anak syarikat milik penuh kami, Serba Dinamik Sdn Bhd yang berkaitan dengan kilang kuasa biogas 2.7 megawatt di Teluk Intan, Perak.

“Di samping itu, GSH juga sedang membangunkan tiga loji biogas lain dengan anggaran nilai projek sebanyak RM49 juta dan berpotensi untuk memulakan usahasama dengan pemilik ladang terkemuka untuk membangunkan loji biogas yang membawa kontrak EPCC bernilai kira-kira RM40 juta,” katanya.

Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

-BERNAMA