Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik Group, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata penglibatan syarikatnya dalam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang melabuhkan tirai pada Sabtu, adalah satu platform pendekatan dan penyelesaian digital di peringkat global.
“Sudah pasti, kami merupakan syarikat yang percaya kepada teknologi. Kami amat serius dalam memacu dan mengaplikasi teknologi dalam segala platform forum dan itu yang mampu untuk kami sumbangkan,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini seiring Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.
Tambahnya lagi, objektif Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang memfokuskan kepada permasalahan ummah menjadikan Serba Dinamik sebagai institusi koporat yang boleh melibatkan diri dari segi pembangunan teknologi.
“Apa yang cuba kami sampaikan adalah teknologi merupakan sesuatu yang perlu diperkenal dan dilaksanakan dalam penyelesaian permasalahan ummah.
“Dalam perkara ini, ia adalah penyelesaian teknologi bagi komuniti seluruh dunia,” jelasnya.
Serba Dinamik yang turut membuka ruang pameran seiring sidang kemuncak empat hari itu turut dilawati oleh Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Penglibatan Serba Dinamik dalam sidang kemuncak itu seiring salah satu kluster yang memfokuskan kepada cabaran teknologi dan IR4.0 dalam kalangan umat Islam.