Occupational Health & Safety Policy
ISO 45001:2018
Quality Policy
ISO 9001:2015
Environmental Policy
ISO 14001:2015

Politeknik Kuching Sarawak perluas program sedia ada mengikut keperluan industri semasa

Abdul Karim menyerahkan replika kunci bas kepada Jamilah untuk kegunaan pelajar PKS.
Abdul Karim menyerahkan replika kunci bas kepada Jamilah untuk kegunaan pelajar PKS.

KUCHING: Politeknik Kuching Sarawak (PKS) memperluaskan skop pengajian dalam 13 program yang ditawarkan mengikut keperluan industri semasa. 

Pengarah PKS, Jamilah Ahmad berkata sebagai contoh dalam Teknologi Maklumat (IT), skop pengajian diperluaskan kepada Keselamatan Siber, Rangkaian dan Kepintaran. 

“Kita masih lagi mengekalkan 13 program sedia ada yang meliputi bidang Kejuruteraan, IT dan Perdagangan tetapi dalam program tersebut kita masukkan unsur-unsur baru. 

“Kalau kita hendak tambah program baru ia terlalu khusus dan tenaga kerja kita mencukupi untuk 13 program sedia ada,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu PKS Sesi Ambilan Disember 2019 dan Majlis Penyerahan Bas di PKS di sini hari ini.  

Tambah Jamilah semua program yang ditawarkan di PKS adalah penting kepada pembangunan negara dan Sarawak amnya. 

Program-program ini meliputi pembinaan termasuk ukur tanah, elektronik, automotif, kimpalan, IT dan banyak lagi yang diperlukan oleh negeri. 

Malah menurut Jamilah graduan PKS mempunyai kebolehpasaran yang tinggi melebihi 90 peratus termasuk ukur tanah. 

Sementara itu Penasihat Industri PKS, Datuk Dr. Ir. Mohd Abdul Karim Abdullah berkata PKS mendapat sokongan hampir keseluruhan industri yang wujud di Kuching malah dari Semenanjung Malaysia. 

“Kerjasama antara pihak industri dan PKS merupakan satu jalinan usahasama yang penting supaya apa yang didedahkan dan diajar di Politeknik bersesuaian dengan industri semasa. 

“Dalam perbincangan antara pihak industri dan PKS, kita turut menekankan isu teknologi terkini iaitu Revolusi Industri 4.0 yang penting untuk Malaysia bergerak maju ke hadapan,” katanya. 

Terdahulu pada majlis tersebut Abdul Karim yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Serba Dinamik Holdings Berhad menyerahkan sumbangan sebuah bas kepada PKS. 

Bas berkapasiti 44 penumpang ini akan digunakan sebagai pengangkutan asas dan membawa para pelajar yang tinggal di luar kampus untuk berulang alik ke kampus yang terletak 22 kilometer dari pusat bandar.