KUALA LUMPUR, 13 Mei — Menghargai petugas barisan hadapan negara yang bertugas sepanjang bulan Ramadan, Serba Dinamik Holdings Berhad tampil menyumbangkan pek makanan bernilai RM500,000 kepada mereka di sekitar Shah Alam.
Naib Presiden Kumpulan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Umumnya Syaiful Radzman Osman berkata agihan pek makanan tersebut sebagai tanda terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang berusaha demi memastikan penularan wabak pandemik COVID-19 dapat diputuskan.
“Kami berharap pek sumbangan Ramadan ini akan membolehkan petugas barisan hadapan menikmati juadah sambil menjalankan tugas secara mudah dan pantas ketika berbuka dan bersahur dan juga sebagai apresiasi terhadap sumbangan mereka kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rangkaian kerjasama dengan Asian Taste, Syarikat SD Impex Sdn Bhd (SDI) itu telah mengedarkan sebanyak 2,000 pek bubur lambuk, 1,000 pek biskut raya dan 1,000 pek makanan kepada warga petugas barisan hadapan termasuk di Hospital Shah Alam, Hospital Avisena, Klinik Kesihatan Seksyen 7 dan 19; Balai Polis Seksyen 6 dan 9; serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Seksyen 9.
Menurut Syaiful Radzman, pihaknya turut mengagihkan 1,000 pek makanan kepada warga petugas Serba Dinamik semasa berbuka puasa tahun ini.R
“Ini adalah satu norma baharu yang telah disusun atur oleh kumpulan Serba Dinamik untuk mematuhi syarat-syarat dalam prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Selain itu, sinaran cahaya biru selama 60 minit yang menerangi bangunan Menara Serba Dinamik pada waktu malam itu turut dibuat sebagai tanda menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan negara.
Serba Dinamik Holdings Berhad merupakan firma perkhidmatan tenaga antarabangsa yang menyediakan penyelesaian kejuruteraan kepada industri penjanaan tenaga serta minyak dan gas.
— BERNAMA