Senarai itu mengetengahkan 200 syarikat awam terkemuka di rantau Asia Pasifik yang mencatatkan perolehan tahunan antara US$5 juta dan US$1 bilion (US1=RM4.19), dengan pendapatan bersih positif dan diniagakan secara awam bagi sekurang-kurangnya setahun.
Daripada 24,000 syarikat, calon dipilih berdasarkan pertumbuhan jualan dan pertumbuhan perolehan sejak 12 bulan lepas dan selama tiga tahun, selain prestasi kukuh pulangan ke atas ekuiti selama lima tahun.
“Secara peribadi, saya rasa terkejut dan benar-benar diiktiraf memandangkan ia sesuatu yang tidak dijangkakan. Ini sekali gus membuktikan dasar dan strategi kami untuk memberikan hasil yang diinginkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Dr Ir Abdul Karim Abdullah apabila dihubungi menerusi e-mail baru-baru ini.
Beliau berkata, pencapaian itu adalah hasil daripada kerja berpasukan, ketabahan dan perancangan, di samping memberi lebih makna dan pengiktirafan sempena ulang tahun ke-25 Serba Dinamik.
“Ini memberi pendorong tambahan dalam memajukan syarikat pada masa depan untuk menjadi syarikat multinasional pilihan,” katanya.
Serba Dinamik menyertai dua syarikat Malaysia lain – My E.G. Services Bhd dan Pentamaster – yang berada dalam senarai itu.
Penyerahan anugerah berkenaan telah berlangsung di Tokyo, Jepun pada 19 Nov lepas.- BERNAMA