Occupational Health & Safety Policy
ISO 45001:2018
Quality Policy
ISO 9001:2015
Environmental Policy
ISO 14001:2015

Serba Dinamik, MYSA akan jalin kerjasama ekonomi angkasa baharu

Serba Dinamik Group Bhd dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) akan bekerjasama untuk mengukuhkan lagi pembangunan ekonomi dan industri angkasa Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata Malaysia masih belum menyertai ‘ekonomi angkasa baharu’ walaupun sudah bersedia untuk melakukannya.

Beliau berkata untuk mencapainya, MYSA telah mengambil inisiatif melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan memperkenalkan Rang Undang-undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020, yang dibentangkan bagi bacaan pertama tahun lepas.

“Rang undang-undang itu menetapkan fungsi untuk menasihati kerajaan mengenai perkara berkaitan dengan industri angkasa, dan kami percaya Malaysia akan meneroka potensi itu dalam usaha menyertai ekonomi angkasa baharu.

“Kami menyokong penuh inisiatif yang mengalakkan lebih banyak perkongsian swasta dan awam dalam kalangan peserta industri. Angkasa merupakan bidang yang kita akan teroka seterusnya,” katanya pada majlis kerjasama di antara Serba Dinamik dengan MYSA secara maya pada Rabu.

Ekonomi angkasa didefinisikan sebagai pelbagai aktiviti dan penggunaan sumber yang mencipta nilai di samping memberi manfaat kepada manusia dalam usaha meneroka, menyelidik, memahami, menguruskan dan memanfaatkan angkasa.

Pada majlis itu, Serba Dinamik menerima surat sokongan daripada Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah.

Firma perkhidmatan tenaga itu juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat yang berpangkalan di Switzerland, SWISSto12, pada majlis tersebut.

Mengikut MoU irtu, SWISSto12 dijangka menyediakan sokongan kepada Serba Dinamik dan mewujudkan jalinan dalam inisiatif angkasa.

SWISSto12 mengkhusus dalam produk inovatif yang memanfaatkan teknologi dan reka bentuk percetakan 3D yang dipatenkan.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata Malaysia amat menyedari bahawa sains dan teknologi angkasa serta aplikasinya berperanan penting ke arah mewujudkan dunia yang lebih baik, terutama dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan  2030.

“Saya dengan sukacita memaklumkan kita berada di landasan ke arah menjadi negara ASEAN pertama yang memperkenalkan Rang Undang-undang Lembaga Angkasa, yang akan mengawal selia industri angkasa di Malaysia,” katanya dalam ucaptama pada majlis itu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Khairy Jamaluddin berkata industri angkasa telah mengalami transformasi kepada sesuatu yang baharu keseluruhannya susulan permintaan terhadap data, imej dan maklumat yang diterima daripada satelit.

“Penggunaan teknologi angkasa dan aplikasinya yang meluas dalam semua sektor, terutama di era Internet Pelbagai Benda serta data maya, dengan penggunaan aplikasi Internet meningkat sekali ganda, telah mewujudkan potensi besar bagi sektor angkasa untuk menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata di samping itu Dasar Angkasa Negara 2030 mengiktiraf keperluan akses kepada keupayaan angkasa untuk mempertingkat perkhidmatan awam dan keselamatan negara.

“Ia juga akan menjadi rujukan dalam menentukan hala tuju pembangunan sektor angkasa di Malaysia.

“Kerajaan menyedari aktiviti angkasa, terutama komunikasi satelit, penderiaan jauh (remote sensing) dan aplikasi navigasi akan memberikan impak besar kepada ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Khairy Jamaluddin berkata berasaskan dasar itu, kerajaan akan dapat memantau dan mengawal selia aktiviti angkasa negara secara berkesan berlandaskan undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata usaha kerajaan akan lebih tertumpu kepada pembangunan teknologi, infrastruktur dan aplikasi angkasa yang mempunyai impak kepada keselamatan, ekonomi dan sosial, terutama dalam aspek sektor angkasa, penderiaan jauh, komunikasi dan navigasi.

“Bidang tumpuan ini akan menyokong keperluan penting seperti perancangan dan pengurusan sumber asli, ramalan cuaca dan iklim, usaha mencari dan menyelamat, pengurusan bencana, pemantauan infrastruktur, pemetaan, navigasi dan keselamatan,” katanya.

— BERNAMA