Occupational Health & Safety Policy
ISO 45001:2018
Quality Policy
ISO 9001:2015
Environmental Policy
ISO 14001:2015

Untung bersih Serba Dinamik naik kepada RM130.44 juta pada suku kedua

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Serba Dinamik Holdings Bhd naik kepada RM130.44 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2019 daripada RM102.74 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Perolehan meningkat kepada RM1.14 bilion daripada RM804.13 juta sebelum ini berikutan aktiviti yang kukuh daripada segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu itu berkata O&M menyumbang sebanyak 83.6 peratus daripada perolehan pada suku kedua 2019, dengan peningkatan sebanyak RM229.0 juta atau 31.7 peratus berbanding suku kedua 2018.

“Peningkatan itu disebabkan aktiviti yang lebih tinggi daripada penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih aktiviti peralatan kami di Malaysia, Indonesia dan rantau Timur Tengah seperti Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain.

“Bagaimanapun, aktiviti pembaikan dan penyelenggaraan menunjukkan sedikit penurunan pada suku kedua 2019 berbanding suku tahun sama tahun lalu,” katanya.

Serba Dinamik berkata, segmen O&M mencatatkan keuntungan operasi yang lebih baik sebanyak RM168.7 juta dalam tempoh terbabit, mewakili margin kasar sebanyak 17.7 peratus.

Mengenai segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian, syarikat itu berkata perolehan meningkat sebanyak RM67.6 juta tahun ke tahun kepada RM147.2 juta, dan menyumbang 12.9 peratus daripada perolehan kumpulan.

Sementara itu, produk dan perkhidmatan lain mencatatkan perolehan sebanyak RM39.8 juta atau 3.5 peratus daripada jumlah perolehan, katanya.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, keuntungan bersih syarikat naik kepada RM242.59 juta berbanding RM195.39 juta dalam tempoh sama tahun lepas, manakala perolehan meningkat kepada RM2.12 bilion daripada RM1.53 bilion sebelum ini.

Mengenai masa depan, Serba Dinamik yakin kerja-kerja penyelenggaraan masih diperlukan terutamanya dalam sektor pertengahan dan hiliran, walaupun turun naik dalam pasaran.

“Sehubungan itu, syarikat giat mengambil bahagian dalam pelbagai bidaan untuk meraih lebih banyak pasaran dalam bidang penyelenggaraan,” katanya. – BERNAMA